Sunday, April 19, 2009

Tahniah skuad memanah SK Seri Berang

Petikan daripada Sinar Harian:


ATLET SK SERI BERANG JUARA MEMANAH
Oleh MOHD YUSERI CHE DIN


HULU TERENGGANU- Dua atlet memanah Sekolah Kebangsaan Seri Berang menunjukkan kehandalan mereka apabila menjuarai kejohanan pemilihan peserta memanah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Hulu Terengganu, semalam.

Bagi kategori lelaki bawah 12 tahun, Muhamad Aiman Mohd Noor muncul sebagai juara keseluruhan selepas membidik 201 mata. Beliau mengecewakan pemanah dari SK Landas, Muhamad Shafiq yang ketinggalan 40 mata di belakang.

Manakala seorang lagi peserta SK Landas, Arif Hilmi mencatat 151 mata untuk tempat ketiga mengecewakan seorang lagi peserta SK Seri Berang, Muhamad Adid Husaini yang hanya ketinggalan satu mata dan berpuashati di tangga keempat.

Muhamad Aiman ketika ditemui Sinar Harian menganggap kejayaannya itu merupakan usaha keras beliau pada hari kedua kejohanan yang menyaksikannya menemui sasaran.

“Saya agak gemuruh pada hari pertama kejohanan dan gagal memberi tumpuan pada jarak yang dekat. Alhamdulillah, pada hari kedua dengan jarak 30 meter saya semakin yakin mungkin disebabkan sasaran lebih besar,” katanya lagi.

Jawatankuasa Teknik Memanah MSSMHT hanya menetapkan dua jarak untuk kejohanan pemilihan tersebut sebagai kelayakan untuk memilih atlet terbaik bagi mewakili MSSMHT ke peringkat negeri Mei nanti.

Menurut Pengerusi Tekniknya, Johar Musa, jarak yang ditetapkan adalah 25 meter pada hari pertama dan 30 meter untuk hari kedua kejohanan. Kedua-dua jarak tersebut digunakan untuk kedua-dua kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.

“Kita mengambil pendekatan mudah untuk melihat kebolehan atlet yang bertanding. Bagi semua atlet yang terpilih nanti, mereka akan dilatih dalam jarak sebenar yang akan digunakan dalam kejohanan peringkat negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, kem SK Seri Berang bertambah ceria apabila Iffah Nadhirah Ahmad Tajudin turut meraih gelaran juara dalam kategori perempuan bawah 12 tahun. Beliau mengutip 171 mata keseluruhan sekaligus melayakkannya muncul sebagai juara.

Atlet SK Seri Berang itu sekali lagi mengecewakan pesaingnya dari SK Landas, Nurul Umairah yang hanya membidik 100 mata keseluruhan sahaja untuk berada di kedudukan kedua. Dua lagi peserta SK Landas, Nur Awadah Rusli dan Nurul Najwa Amira masing-masing mengumpul 86 dan 79 mata untuk meraih tempat ketiga dan keempat.

Mengulas lanjut, Johar Musa berkata, sebanyak 35 orang peserta mengambil bahagian pada kejohanan pemilihan tahun ini yang diadakan di padang SMK Jenagor selama tiga hari. Walau bagaimanapun, hari pertama merupakan hari penyesuaian gelanggang bagi semua peserta yang bertanding.

Kejayaan Muhamad Aiman sudah diramal sejak dari awal lagi memandangkan beliau merupakan salah seorang atlet memanah yang telah mewakili MSSMHT ke peringkat negeri di Dungun tahun lalu. Manakala, Iffah Nahdirah pula kelihatan ceria apabila berjaya menebus kegagalan beliau dalam siri kejohanan pemilihan yang sama pada tahun lepas.

Daripada kejohanan tersebut, pihak jawatankuasa teknik memanah MSSMHT telah memilih empat atlet lelaki dan empat atlet perempuan bagi mewakili daerah untuk kategori bawah 12 tahun. Pada tahun ini, MSSMHT telah diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah kejohanan memanah peringkat negeri (MSSMT), dan kejohanan tersebut akan diadakan di SMK Jenagor pada 7 hingga 9 Mei nanti.